Sejumlah 430,000 rakyat Sarawak dari golongan B40 akan menerima bantuan RM250 sebulan selama tempoh enam bulan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan yang diumumkan dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang itu adalah bagi membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Malah kata Abang Johari, pakej bantuan khas itu sangat signifikan untuk tempoh enam bulan.

"Kita tidak mahu rakyat terbeban. Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan hanya dua minggu, ia memberi kesan sehingga enam bulan.

"rakyat perlu dibantu. Selepas dua minggu kita memerlukan enam bulan untuk kembali normal. Justeru, mereka mesti ada bantuan sebab itu kita beri RM250 sebulan untuk enam bulan kepada B40 untuk ringankan beban mereka," katanya.

Beliau berkatan demikian pada sidang media Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang di Wisma Bapa Malaysia.

Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang itu memperuntukkan RM1.154 bilion bagi memangkin ekonomi.

Peruntukan itu melibatkan perbelanjaan langsung sebanyak RM974.75 juta bagi mengurangkan kesan kelembapan ekonomi sekali gus beban kepada rakyat.

Bukan itu sahaja, kerajaan negeri juga bersetuju menangguhkan bayaran pinjaman balik, pengecualian bayaran dan diskaun perkhidmatan asas kerajaan negeri sebanyak RM179.79 juta bagi tahun 2020.

Abang Johari turut berkata, pakej bantuan khas itu memberi tumpuan kepada 16 langkah proaktif yang diambil kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan kesan COVID-19 serta melindungi kesejahteraan rakyat Sarawak.

Langkah-langkah itu disasarkan kepada kakitangan barisan hadapan, isi rumah dan komuniti perniagaan yang sangat memerlukan sokongan pada waktu ini.