Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa golongan belia untuk lebih terbuka mendapat rawatan kesihatan mental, sekiranya diperlukan.

Menurutnya, sebagai sebuah masyarakat yang progresif, isu sensitif seperti kesihatan mental perlu ditangani dengan hati terbuka.

"Saya faham isu kesihatan mental ini sensitif. Maka dengan ini, saya menggesa semua orang, terutamanya golongan belia terbuka dalam mendapatkan rawatan kesihatan mental, sekiranya diperlukan.

"Masyarakat juga memainkan peranan penting dalam usaha ini, dan tidak menjadikan isu kesihatan mental, sebagai sebuah isu yang sensitif. Sebaliknya, kesihatan mental perlu ditangani sebagai sebuah isu kesihatan diri," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 di Melawati Mall pada Ahad.

Majlis yang dianjurkan bersama oleh Fakulti Perubatan UiTM dan Hospital Selayang ini telah dihadiri lebih dari 1,000 orang.

Tema sedunia pada tahun ini adalah tentang memperkasakan golongan belia dalam menghadapi isu kesihatan mental. Tema yang berbunyi "Perkasakan Dirimu: Minda Belia" atau "Young Minds, Take Charge!" adalah usaha World Health Organisation (WHO), sebuah badan Pertubuhan Badan-Badan Bersatu (PBB) dalam mengatasi isu kesihatan mental belia.


Saksikan wawancara Astro AWANI bersama Dr. Nur Faizah Ali, Pakar Psikiatri dan Pensyarah Fakulti Perubatan UiTM tentang isu kesihatan mental