Milenial memilih untuk kerap menukar pekerjaan bagi memenuhi aspirasi hidup berkerjaya peribadi mereka, menurut firma penyelesaian sumber manusia, Randstad Sdn Bhd (Randstad Malaysia).

Pengarah Urusan Randstad Malaysia dan Singapura, Jaya Dass berkata motivasi asas bagi golongan milenial adalah kelangsungan, dengan jaminan pekerjaan bukan satu norma malah menjadi kurang bermakna dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Beliau berkata ini kerana era pendigitalan dan automasi akan mengambil alih.

"Apabila nilenial bertukar kerja, tindakan itu bukan sepenuhnya disebabkan mereka tidak setia kepada syarikat atau tidak bersedia untuk kekal bagi jaminan pekerjaan, sebaliknya mereka lebih berminat kepada kemajuan kerjaya dan mahu mencari majikan terbaik," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Jenama Majikan 2019 Randstad Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam konteks keperluan generasi milenial, mereka sedang mencapai pengaturan kerja fleksibel, yang hanya boleh menambah baik keseimbangan kerjaya-kehidupan dan meningkatkan produktiviti.

Antara sektor yang menarik bagi golongan milenial adalah minyak dan gas; pengangkutan dan logistik.

Sementara itu, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) meraih anugerah Majikan Paling Menarik di Malaysia bagi 2019, kali kedua ia menjulang kedudukan teratas bagi Anugerah Jenama Majikan Randstad Malaysia.

Menurut Penyelidikan Jenama Majikan Randstad, tiga majikan paling menarik teratas kekal tidak berubah daripada kedudukan tahun lepas iaitu Petronas, Shell Malaysia dan Nestle (Malaysia) Bhd.

Anugerah disampaikan kepada ketiga-tiga syarikat berkenaan yang memperolehi skor daya tarikan tertinggi dalam kajian mengenai firma yang menjadi pilihan pencari pekerjaan di Malaysia.

Pemenang dalam kategori ini dipilih daripada 75 majikan utama di Malaysia berasaskan jumlah tenaga kerja.

Menurut Randstad, firma lain dalam senarai 10 majikan paling menarik di Malaysia pada 2019 ialah Intel Malaysia Sdn Bhd, Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd, AirAsia Bhd, IBM Malaysia Sdn Bhd, Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, Sime Darby Bhd dan Sony EMCS (Malaysia) Sdn Bhd.

-- BERNAMA