Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru golongan petani khususnya petani muda agar tidak terlalu bergantung dan fokus terhadap sesebuah jenis tanaman sahaja.

Usaha itu katanya, sebagai langkah persediaan bagi mereka sekiranya berdepan kejatuhan harga produk satu-satu jenis tanaman.

"Kalau kita ada tanah, mesti kita ada 'mix farming' (pertanian pelbagai) dan kita jangan berpegang pada satu jenis tanaman sahaja kerana bila jatuh harga tanaman tertentu kita akan hadapi masalah," katanya ketika mengadakan kunjungan di beberapa kebun di sekitar Selangor.

Tambanhya, golongan itu seharusnya memanfaatkan tanah pertanian mereka dengan hasil tanaman yang pelbagai.


Perkara itu sekali gus dapat membantu mereka memperoleh pendapatan daripada pelbagai hasil sumber tanaman meskipun berdepan kejatuhan harga tanaman tertentu.

Selain itu, Dr Mahathir turut memperingatkan golongan petani agar tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja warga asing dan memupuk sikap disiplin yang tinggi dalam mengusahakan sektor itu.