PUTRAJAYA:Aktiviti memasak secara gotong-royong adalah dilarang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika bencana banjir bagi mengelak penularan COVID-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata ia adalah antara prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi pengurusan mangsa banjir yang akan dilaksanakan di PPS, selain khemah-khemah akan dijarakkan dan proses disinfeksi dibuat secara berkala.

Katanya mangsa banjir serta petugas di PPS perlu menjalani pemeriksaan suhu badan dan berdaftar dengan aplikasi MySejahtera, manakala mereka yang bergejala akan diasingkan sebelum dirujuk kepada Kementerian Kesihatan.

"Pelawat awam dilarang hadir ke PPS selain setiap ruang dalam PPS akan ditanda bagi memastikan penjarakan fizikal dipatuhi," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bil 1/2020, di sini, hari ini.

Mohd Redzuan dalam pada itu berkata petugas barisan hadapan ketika bencana banjir terutamanya anggota penyelamat akan menggunakan sut peralatan perlindungan diri (PPE) ketika melaksanakan tugas menyelamat mangsa banjir.

"Cadangan pemakaian PPE itu akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diguna pakai oleh pasukan barisan hadapan yang bertugas ketika bencana banjir," katanya.

Beliau turut meminta semua agensi berkaitan membuat persiapan dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku awal November tahun ini hingga Mac tahun depan.

"Saya mohon semua agensi membuat persiapan rapi... depoh serta stor di peringkat negeri dan daerah perlu membuat penambahan stok sebelum MTL bermula," katanya.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat berkenaan memaklumkan peruntukan berjumlah RM4.16 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara akan disalurkan kepada jawatankuasa pengurusan banjir negeri dan daerah sebagai perbelanjaan operasi sepanjang MTL.

Menurut Nadma, Angkatan Pertahanan Awam pula akan menerima peruntukan sebanyak RM20,000 bagi setiap negeri untuk menampung perbelanjaan Sekretariat Pengurusan Bencana negeri dan daerah.

-- BERNAMA