GoUmrah.travel menjadi portal tempahan pilihan pakej umrah yang memberi kebebasan bakal jemaah membuat jadual sendiri tidak mengikut pakej agensi seperti kebiasaaannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kemudahan dalam talian yang pertama di dunia itu memberi pilihan bakal jemaah mengikut kos perjalanan dan penginapan semasa berada di Tanah Suci.

"Usaha ini murni kerana mempermudahkan urusan para jemaah umrah dari negara ini untuk memilih sendiri tarikh, tempat tinggal, syarikat penerbangan dan atur cara ketika berada di Mekah dan Madinah.

"GoUmrah.travel menepati perkembangan semasa yang semuanya kini berurusan di hujung jari.

"Selama ini, Malaysia disegani dan dihormati kerana pengurusan haji yang terbaik setiap tahun di bawah Lembaga Tabung Haji," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran GoUmrah.travel pada Khamis.

Turut hadir Pengerusi Sutra Group, Datuk Seri Syed Ali Al Habshi dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Sutra Group, Datuk Seri Syed Mohd Razif Al Yahya.

Katanya, platform atas talian itu juga diharap menjadi contoh dan dihormati oleh negara-negara lain menerusi pelaksanaannya.

Dalam pada itu, Syed Mohd. Razif memberitahu, khidmat umrah itu mengikut peraturan di Malaysia dan Arab Saudi

"Ia bertujuan memenuhi kehendak pengguna seiring dengan dunia digital yang berkembang pesat.

"Kita memberi jaminan tempahan pakej umrah dalam talian terbabit adalah tulen dan bukan penipuan.

"Selepas Malaysia, portal ini dijangka dibuka kepada jemaah haji Indonesia pada 2018," jelasnya.