GPS tidak mahu dilihat sebagai sokong PH, kata pemimpin PKR

GPS tidak mahu dilihat sebagai sokong PH, kata pemimpin PKR
Willy berkata GPS mahu supaya usaha menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam MA63 dan penurunan kuasa sebagai tuntutan utama terhadap kerajaan Persekutuan yang diterajui PH.
KUCHING: Seorang pemimpin PKR pada Jumaat mendakwa Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah di Sarawak tidak mahu dilihat menyokong Pakatan Harapan (PH) berhubung usaha meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama rata dengan Semenanjung.

Ini berikutan kebimbangan bahawa GPS "akan menghadapi masalah" dalam pilihan raya negeri akan datang pada 2021, kata Pengerusi PKR Cabang Mas Gading, Boniface Willy Tumek.

"Saya cuma mahu menyatakan bahawa kepentingan rakyat Sarawak akan lenyap akibat politik kepartian. Saya fikir sejarah akan merakamkannya sebagai usaha untuk mengembalikan status dan hak-hak Sarawak disekat secara efektif oleh Anggota Parlimen GPS, " katanya ketika diminta mengulas mengenai kegagalan usaha untuk meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Willy, yang juga seorang peguam, berkata GPS mahu supaya usaha menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam MA63 dan penurunan kuasa sebagai tuntutan utama terhadap kerajaan Persekutuan yang diterajui PH.
Tuntutan itu juga meliputi kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ), royalti minyak dan gas serta agihan Sarawak dari[pada hasil cukai, katanya.

Willy berkata matlamat utama semua tuntutan tersebut ialah untuk memastikan kemakmuran Sarawak dan rakyat Sarawak.

Sementara itu, timbalan pengerusi PKR Cabang Mas Gading Francis Teron Kadap, yang bertanding sebagai calon PKR di Opar pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 menyifatkan kegagalan usaha untuk meminda Perlembagaan sebagai "sangat malang.".

"GPS beranggapan bahawa ia sesuai ditolak kerana mendakwa pindaan tersebut tidak bersungguh-sungguh dan juga mendakwa ia mengandungi helah.

"Bagi saya, rang undang-undang itu mungkin tidak mengandungi yang terbaik tetapi ia pastinya merupakan langkah pertama ke arah lebih banyak pindaan dalam perlembagaan, statut dan dasar yang lain untuk menguatkuasakan pindaan, apatah lagi undang-undang lain yang bercanggah untuk dimansuhkan atau diisytiharkan batal dan tidak sah," kata beliau.

Theron berkata beliau menghormati hak untuk bersetuju atau tidak bersetuju tetapi ini bukan masa dan tempatnya yang sesuai untuk berbuat demikian demi masa depan negeri ini dan berjuta-juta golongan muda Sarawak dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

-- BERNAMA




Tag: Pakatan Harapan, politik, undang-undang, pilihan raya, PKR, Boniface Willy Tumek, Sarawak, Gabungan Parti Sarawak, Sabah, Perlembagaan Persekutuan, MA63, Francis Teron Kadap, pindaan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.