Syarikat perkhidmatan teksi e-hailing (e-panggilan), Grab kini menawarkan diskaun sehingga 23 Nov ini untuk perjalanan pergi-balik ke tempat kerja dan sekolah bagi mangsa banjir di Pulau Pinang.

Menurut syarikat itu, penduduk Pulau Pinang hanya perlu menekan kod promosi 'GRAB4PG' dalam aplikasi panggilan untuk menikmati potongan RM5 tanpa tunai atau GrabPay bagi 25 perjalanan yang disediakan di negeri itu.

"Kami juga meminta para sukarelawan dalam syarikat serta pemandu dari bandar berdekatan supaya menjadi pemandu Grab di Pulau Pinang dari 13 hingga 17 Nov ini bagi memenuhi permintaan memandangkan banyak kenderaan rosak akibat banjir," kata Ketua GrabCar dan Teksi Grab Luar Lembah Klang, Justin Tiew.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, bagi membantu sara hidup pemandu, Grab buat masa ini tidak mengenakan caj komisen pada tempahan di negeri itu sehingga dimaklumkan, justeru semua pemandu Grab boleh menikmati sepenuhnya tambang yang dikenakan terhadap penumpang dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata ramai pemandu dan kenderaan mereka terjejas dengan banjir di negeri itu dan oleh itu syarikat tersebut tidak akan melaksanakan sebarang kenaikan harga tempahan sehingga dimaklumkan.

"Sebagai sebuah syarikat, kamu mahu bersama-sama dengan penduduk Pulau Pinang kerana kami juga turut terkesan seperti rakan, keluarga, sahabat dan penumpang kami di negeri itu," katanya.

- BERNAMA