Hasrat seorang graduan cacat penglihatan untuk menyambung pengajian peringkat ijazah di University Of South Australia bagaikan tidak kesampaian.

Dana yang cukup besar iaitu sebanyak RM348,000 diperlukan beliau bagi mengikuti pengajian dalam bidang inovasi perniagaan dan keusahawanan selama dua tahun di sana.

Jumlah tersebut tidak termasuk kos pembelian mesin braille yang dianggarkan berharga RM12,000 seunit.

Bagaimanapun, bagi Razlan Ibrahim Mukhtar, impian untuk berbakti kepada masyarakat, selain mahu membuktikan bahawa insan istimewa seperti dirinya mampu mencapai kejayaan cemerlang tidak pernah terpadam.

Graduan diploma perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis yang juga sukarelawan di St Nicholas’ Home berharap ada pihak yang sudi membantu meringankan beban dan menghulurkan sumbangan bagi menampung kos pengajiannya di Australia.




Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif St Nicholas’ Home Penang, Danial Soon berkata pihaknya amat berbangga dengan pencapaian Razlan yang beroleh CGPA 3.86 dalam peperiksaan.

Mengikut surat tawaran, Razlan perlu mendaftar pada 13 Julai.

Bagaimanapun pihak St Nicholas Home memohon untuk mendaftarkan Razlan pada semester berikutnya kerana Razlan perlu terlebih dahulu mengumpul dana secukupnya.

Sumbangan orang ramai untuk pengajian Razlan boleh disalurkan menerusi akaun Hong Leong Bank (37000002252) atau melalui cek atas nama St Nicholas’ Home Penang.