Mulai tahun ini, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) hanya mengutamakan graduan lulusan diploma dan lulusan dalam bidang penjagaan kanak-kanak dalam proses pengambilan tenaga pengajar baharu untuk Tabika dan Taska Kemas.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selaras dengan perkembangan semasa, Kemas kini sedang melaksanakan transformasi termasuk memperkasa tenaga pengajarnya dengan menyasarkan kesemua yang terlibat mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya kelulusan diploma menjelang tahun 2020.

Katanya, Program Diploma Awal Kanak-kanak yang dilaksanakan sejak 2006 menyaksikan seramai 7,365 guru Tabika Kemas dan Taska Permata Kemas telah memiliki diploma dengan gred jawatan S27.

Dalam pada itu, seramai 1,000 orang lagi sedang melanjutkan pengajian diploma di pusat pengajian tinggi di seluruh negara, katanya, kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Kebangsaan Tabika/Taska Permata Kemas dan Hari Potensi Kemas Parlimen Bera, di sini pada Ahad.

Katanya, KKLW memperuntukkan sebanyak RM700 juta setiap tahun bagi tujuan pembangunan dan aktiviti Kemas melibatkan 11,215 kelas Tabika dan 499 kelas Taska di seluruh negara.

Sementara itu, dalam acara berlainan di sini, Ismail Sabri berkata Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan RM800 juta tahun lepas bagi membiayai pinjaman Skim Mikro Kredit untuk golongan usahawan isi rumah pendapatan rendah.

Justeru, katanya, kemudahan itu harus dimanfaatkan oleh usahawan untuk memperluaskan perniagaan mereka sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Usahawan AIM Bera di sini.

-- BERNAMA