Graduan politeknik yang sudah memasuki bidang kerjaya digalak meneruskan pengajian menerusi program Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Pengesanan Graduan dan Alumni Jabatan Pengajian Politeknik, Zulkifli Ibrahim berkata,ia merupakan proses pembelajaran peringkat tertinggi dengan mewujudkan laluan baharu kepada pekerja berpengalaman yang tiada ijazah sarjana muda melanjutkan pelajaran terus ke peringkat ijazah sarjana.

"Pekerja yang berminat perlu membuat permohonan bagi proses saringan.

"Pemegang diploma diberi peluang melanjutkan pengajaran sehingga ke peringkat sarjana dengan adanya pengalaman 5 hingga sepuluh tahun,'' katanya.

Zulkifli berkata demikian semasa berucap pada majlis makan malam selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Alumni Politeknik Sultan Idris Shah di Saloma Bistro di sini.

Katanya, perbincangan dengan pihak Universiti Terbuka Malaysia (OUM) juga sudah dibuat sekali gus dilihat inisiatif yang membolehkan alumni Politeknik melanjutkan pelajaran keperingkat yg lebih tinggi melalui sistem APEL.

Jelas Zulkifli, melalui sistem ini, alumni dapat memendekkan jangkamasa pembelajaran dan memudahkan pembahagian masa kerja sedia ada.

"Buat masa ini,kita dalam usaha utk membuat kertaskerja dimana alumni dapat menikmati potongan dari segi yuran.

"Persatuan alumni disarankan agar mempunyai hubungan yang erat agar dapat mempertingkatkan kebolehpasaran graduan serta menjalankan aktiviti yg menjurus kearah kebolehpasaran amatlah digalakkan,'' ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengumumkan program APEL itu telah dibuka kepada umum sejak September 2011 bagi akses kepada program ijazah sarjana muda manakala, untuk program sijil serta diploma pula dibuka pada Februari tahun lalu.

Idris berkata, sejak program itu dilaksanakan, 170 orang telah memohon dinilai dan daripada jumlah itu 13 orang untuk akses ke program ijazah sarjana, 108 orang (ijazah sarjana muda), 47 orang (diploma) dan dua orang (sijil).