Dalam memastikan petugas sokongan perubatan tidak dijangkiti virus COVID-19, sepasukan graduan Universiti Tekonologi Mara (UiTM) menghasilkan dua jenis robot untuk membantu tugas harian mereka.

Dua buah robot pengangkut sisa klinikal yang dicipta sejak enam bulan lalu itu telah digunakan sepenuhnya di wad dan makmal di Hospital UiTM Sungai Buloh.

Ketua Pegawai Eksekutif Sailcott (M) International Sdn Bhd, Shaifull Naim Othman berkata ia bukan sahaja mengurangkan kontak antara manusia di hospital, ia pada sama memberi keseronokan ketika bertugas.

“Kebanyakan perkhidmatan sokongan di hospital dilakukan secara manual dari dulu sehingga sekarang.

“Atas usaha kami sendiri untuk menghasilkan robot-robot ini untuk menjadi sebagai pembantu kepada sokongan klinikal kami di mana robot ini dapat mengurangkan kontak pekerja-pekerja kami kepada sisa klinikal terutama sisa COVID-19.

Dengan penggunaan robot ini, pihaknya juga berjaya mengurangkan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE).

“Di UiTM Sungai Buloh terdapat makmal di mana mereka melakukan saringan kepada COVID-19 ini. Dengan penggunaan robot ini InsyaAllah harap tak ada apa-apa berlaku sekali gus dapat kurangkan kontak pekerja kami dengan sisa-sisa COVID-19,” katanya kepada Astro AWANI.

Ujarnya, rata-rata pekerjanya merupakan alumni kelab robotik di UiTM Shah Alam sewaktu mereka melanjutkan pengajian sebelum ini.

Selain itu, dengan penggunaan robot ini, pihaknya juga berjaya mengurangkan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE).

“Jika pengambilan sisa klinikal dilakukan secara manual, setiap kali pekerja kami pergi ke satu tempat, PPE yang kami pakai terpaksa dibuang.

“Apabila kami masuk ke tempat lain, kami terpaksa pakai PPE yang baru dan terpaksa buang selepas keluar.

“Harap-harap, InsyaAllah dengan penggunaan robot-robot sedia ada ini dapat kurangkan pelupusan PPE di waktu yang kritikal ini,” katanya.

Selain kebergantungan terhadap pekerja asing semakin berkurangan, beliau pada masa sama mengakui pekerja tempatan tidak berasa malu untuk berkecimpung dalam bidang pengurusan sisa klinik lantaran penggunaan teknologi terkini.

Selain kebergantungan terhadap pekerja asing semakin berkurangan, beliau pada masa sama mengakui pekerja tempatan tidak berasa malu untuk berkecimpung dalam bidang pengurusan sisa klinik lantaran penggunaan teknologi terkini.

Melihat industri inovasi dalam hospital amat cerah, pihaknya berharap lebih banyak kerjasama antara universiti dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bukan sahaja peralatan perubatan tetapi perkhidmatan sokongan hospital.