GST bantu Malaysia elak krisis ekonomi - Najib

GST bantu Malaysia elak krisis ekonomi - Najib
Perdana Menteri berkata GST, yang menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah membantu meluaskan hasil negara. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Penurunan harga minyak boleh menyebabkan Malaysia dilanda krisis ekonomi sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak dilaksanakan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata GST, yang menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah membantu meluaskan hasil negara bagi mengelakkan pergantungan tinggi kepada hasil minyak.

GST ialah sistem cukai yang dilaksanakan di seluruh dunia yang lebih telus dan bersistematik berbanding SST, katanya, sambil menambah perubahan dalam sistem cukai negara tidak dapat dielakkan.

Najib, yang juga menteri kewangan berkata dengan perubahan itu, Malaysia kini mempunyai arus pendapatan yang lebih pelbagai dan asas yang kukuh.

"Komuniti perniagaan dan pelabur asing kekal optimistik," kata beliau dalam catatan terbaharunya di blog NajibRazak.com.
Perdana Menteri berkata GST tidak akan digunakan untuk menyelamatkan kerajaan.

"Isu menggunakan hasil GST untuk membayar usaha niaga yang gagal tidak timbul," katanya yang menjawab dakwaan bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamed bahawa kerajaan menggunakan GST untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kerajaan yang mengalami kegagalan.

Najib berkata kerajaan akan mendedahkan bagaimana hasil GST akan diperuntukkan dalam bajet akan datang.

"Untuk mengatakan mereka, yang bukan golongan yang membayar cukai pendapatan, menyelamatkan kerajaan hanyalah fakta yang diputar belit," katanya yang mendedahkan bahawa sebahagian besar bantuan kerajaan diperuntukkan kepada kumpulan khusus ini.

"Mereka malahan diberi ganjaran dalam bentuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), katanya.

Kerajaan memperuntukkan RM13 bilion dari 2012 hingga 2015 bagi BR1M yang memberi manfaat kepada hampir 7.4 juta rakyat.

Menjelaskan tentang usaha niaga kerajaan, Najib berkata terdapat banyak usaha niaga yang berjaya dilaksanakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sebagai contoh, 20 GLC utama kita mencatatkan jumlah pulangan pemegang saham 12.6 peratus setahun dari 2004 hingga 2015, mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur pada 12.2 peratus setahun.

Permodalan pasaran juga meningkat 3.2 kali daripada RM133.8 bilion pada 2004 kepada RM431.1 bilion pada 2015. Jumlah keuntungan bersih melonjak daripada RM9.9 bilion kepada RM26.2 bilion dari 2004 hingga 2015, katanya.

Najib berkata kerajaan sentiasa menambah baik pengurusan kewangannya termasuk meningkatkan kecekapan GLC dan memaksimumkan pulangan mereka.

Beliau berkata GLC mencatatkan pulangan yang lebih banyak dan berkembang lebih daripada biasa dari segi nilai, dengan peningkatan ketelusan, pertanggungjawaban dan daya saing di bawah Program Transformasi GLC.

Pentadbiran ini telah meningkatkan kepentingan dan kebebasan yang diberikan kepada Ketua Audit Negara untuk mengaudit Kewangan Negara bagi melaporkan semua ketirisan," katanya.

Bilangan isu yang diketengahkan oleh Ketua Audit Negara telah berkurangan  tahun demi tahun, kata beliau, sambil menambah, "Dan saya berhasrat untuk menambah baiknya lagi.