Gabungan Bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menyifatkan pertemuan kedua mereka dengan pegawai Kastam untuk mendapatkan jawapan isu berkenaan cukai baru itu menemui jalan buntu.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Che Gu Bard berkata, walaupun ada jawapan diberi, ia masih belum lengkap dan 'sambutan' diberi Kastam turut dipertikai.

"Kita sudah hubungi Kastam beberapa hari sebelum pertemuan tadi. Kita juga menghantar analisis mengenai 106 soalan yang diberi pada pertemuan pertama.

"Secara keseluruhannya mereka hanya menjawab 24 peratus daripada 106 soalan itu, kita ucap terima kasih walaupun ada beberapa persoalan yang belum dijawab," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Aktivis Gabungan Bantah GST pada membuat 'lawatan' kedua selain mahukan lebih banyak penjelasan daripada Jabatan Kastam mengenai GST.

Kira-kira 30 penyokong kumpulan itu berhimpun di hadapan pejabat Kastam di Kelana Jaya pada kira-kira pukul 10.00 pagi dan menunggu jawapan kepada senarai soalan sebelum ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Kastam Diraja Kuala Lumpur, Abd Gani Othman yang menerima dokuman mengandungi soalan-soalan itu sebelum ini dikatahan menjawab hanya sebahagian daripada persoalan mereka.

Himpunan bersurai pada kira-kira pukul 1 petang.

Dalam pada Che Gu Bard turut melahirkan rasa kecewa kerana kumpulan aktivis itu disambut dengan sekumpulan polis selain penutupan ibu pejabat Kastam sendiri.

"Dari 9 pagi sehingga 12 lebih tengah hari mereka tutup Kastam. Apakah ini cara mereka menyambut rakyat yang ingin tahu persoalan mengenai GST.

"Orang ramai juga tidak dapat berurusan di Kastam, kita juga sedia berdialog dan menunggu Kastam memberi lampu hijau untuk masa berdialog itu," ujarnya.

Pada 23 Mac lepas, keadaan kecoh apabila kumpulan itu menyerahkan memorandum dan soalan kepada Kastam di Ibu Pejabat Kastam di Kelana Jaya.

Ia menjadi kecoh selepas pertengkaran berlaku di antara polis dan sekretariat Bantah GST.

Seramai 28 individu yang menyertai perhimpunan itu turut ditahan reman selama dua hari.