Individu yang mengamuk dan menggunakan senjata mungkin mempunyai tekanan lain selain faktor kenaikan harga barangan berpunca daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Pakar psikoterapi Azman Shah Aziz berkata, ia mungkin berlaku kerana situasi hari ini dilihat memberi pelbagai tekanan termasuk isu gaji dan suasana ekonomi negara sendiri.

"Kalau dilihat pada situasi sekarang, GST bukan hanya isu. Individu itu mungkin berhadapan cabaran lain seperti gaji atau isu peribadi, kita tidak tahu itu.

"Mungkin juga GST tetapi tidak perlu menggunakan parang, apabila situasi itu terjadi, ia mungkin berpunca daripada rasa terlalu emosi sehingga menjadikan fikiran tidak rasional," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

BACA: Gara-gara GST, pelanggan bawa parang mengamuk dalam restoran nasi kandar

Azman mengulas kejadian seorang lelaki yang bertindak memecahkan cermin almari menempatkan lauk-pauk dalam sebuah restoran nasi kandar di George Town baru-baru ini.

Lelaki yang datang bersama rakannya turut membuang bungkusan makanan ke lantai sambil mengeluarkan kata-kata kesat kepada pekerja restoran sebelum beredar.

Hasil siasatan mendapati lelaki itu tidak berpuas hati kerana makanan yang dibelinya dikenakan GST.

BACA: GST: Emosi rakyat terganggu dengan kenyataan Ahmad Maslan - Pakar psikologi

Pada April, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Dr Abdul Jalil Hassan berkata, emosi rakyat negara ini yang terganggu dengan beberapa kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkaitan GST dilihat bakal pulih dalam sedikit masa lagi.

Bagaimanapun jelasnya, pelbagai pendapat rakyat terutama di media sosial dilihat proses biasa meluahkan perasaan yang normal bagi setiap manusia.

BACA: GST boleh turunkan harga barang - Ahmad Maslan

Sebelum ini, Ahmad menjelaskan pelaksanaan GST boleh menurunkan harga barang seperti kereta, perabot dan juga barangan elektrik.

BACA: Budaya salah asrama yang 'diviralkan' ke media sosial

Pada 2014, Azman dilaporkan berkata, video sekumpulan pelajar yang memukul pelajar lain dan viral di media sosial membongkar gaya hidup salah di asrama yang selama ini dirahsiakan.

Ujarnya, ia merupakan budaya sejak zaman dahulu yang dilalui dan diketahui semua orang yang pernah tinggal di asrama.