Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan menyenarai hitam mana-mana peniaga yang menjual ikan pada harga yang tidak munasabah susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bermula hari ini.

Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, peniaga berkenaan juga diberi amaran untuk tidak menggunakan alasan GST sebagai punca mereka menaikkan harga barang dengan sesuka hati.

"Saya dimaklumkan ada peniaga yang mula menaikkan harga barangan mereka hari ini.

"Siapa kata ikan segar dikenakan GST? Malahan bekalan ikan segar sehingga kini masih cukup untuk menampung permintaan pasaran semasa," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Negara hari ini secara rasmi menjadi negara kelapan dalam kalangan 10 anggota ASEAN dan yang ke-169 di dunia melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Dalam pada itu, kata Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, semua persatuan nelayan diminta menyertai pasar tani agar ikan segar dapat dijual dengan harga berpatutan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Irmohizam mendesak agar satu akta baharu digubal bagi memastikan masalah ketirisan membabitkan kakitangan awam seperti yang didedahkan laporan audit dapat diselesaikan segera.

Katanya, ia sekali gus mengikut jejak langkah negara-negara luar yang tidak memandang remeh isu itu terutama yang melibatkan kakitangan awam bagi menjaga nama baik kerajaan.

"Contohi Australia atau Hong Kong yang begitu tegas dalam isu berkenaan. Negara ini sejak awal sudah memperkenalkan akta sebegini untuk mendakwa penjawat awam yang tidak amanah semasa bertugas.

"Seperti negara kita sekarang, penjawat awam yang melakukan kesalahan masih bebas dan belum cukup takut dengan undang-undang rasuah yang sedia ada," ujarnya.

Katanya lagi, kerajaan juga seharusnya memberi perhatian dalam isu berkenaan selain memastikan pendedahan Jabatan Audit baru-baru ini tidak berpanjangan.

Tegasnya, selain ia perlu dimasukkan di dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), undang-undang baharu mengenainya juga dilihat perlu digubal segera.

"Berdasarkan statistik, sebanyak 4,693 laporan salah laku kakitangan awam diterima SPRM sehingga November tahun lalu.

"Kerana itu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) harus memainkan peranan mereka dalam penggubalan akta ini untuk memastikan setiap skop berkenaan undang-undang itu kelak diterima," jelasnya.

Tegasnya lagi, angka berkenaan itu juga disifatkan serius sekali gus membuktikan tidak ada lagi kompromi boleh dipertimbangkan dalam isu membabitkan penyelewengan.

"Ia memerlukan pendekatan holistik dan menyeluruh bagi memastikan isu ini dibersihkan sehingga akar umbi.

"Tiada kompromi dan jika ia tidak diberi perhatian segera, pasti kerajaan akan dipersalahkan juga pada akhirnya," katanya.


Klik untuk maklumat terperinci berhubung pelaksanaan GST