Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengajak rakyat Malaysia menjadikan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) sebagai wadah untuk rakyat bersuara.

Guan Eng menerusi perutusan Hari Raya Aidilfitri parti beliau, berkata ini bagi membolehkan mereka serta anak cucu untuk sama-sama menikmati hasil negara dan menyelamatkan masa depan mereka daripada tergadai.

Menteri Kewangan itu berkata kerajaan PH pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuka lembaran baharu demi keadilan, demokrasi dan kesejahteraan rakyat.

Ini terbukti, katanya apabila kerajaan berjaya menguatkuasakan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Jun lepas walaupun sebelum ini banyak pihak mendakwa cukai yang membebankan rakyat itu kononnya tidak boleh diletakkan pada kadar sifar.

"Membeli-belah tanpa GST pastinya memeriahkan lagi suasana sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma.

"BR1M yang kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) juga tetap dibayar sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa tanpa GST, negara akan bankrap," katanya menerusi laman Facebook pada Rabu.

Guan Eng pada masa sama berkata kerajaan tetap melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk rakyat termasuklah bantuan Hari Raya RM400 seorang kepada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa), imam, bilal dan siak di seluruh negara selain pemberian Bantuan Khas Aidilfitri RM400 untuk 1.2 juta penjawat awam bagi gred 41 dan ke bawah serta RM200 kepada pesara kerajaan.

"Ini belum mengambil kira perbelanjaan RM3 bilion untuk menstabilkan harga minyak RON95 dan diesel, masing-masing pada kadar RM2.20 dan RM2.18 seliter.

"Peneroka Felda juga mendapat perhatian daripada kerajaan dengan setiap peneroka dapat menikmati insentif Hari Raya berjumlah RM450," katanya.

Kerajaan juga amat terharu dan berterima kasih atas keprihatinan rakyat Malaysia yang sanggup menyumbang wang ringgit bagi Tabung Harapan Malaysia untuk meringankan beban hutang kerajaan Persekutuan yang melebihi RM1 trilion, katanya.

Sehingga kini (setakat Rabu, 3 petang), tabung yang dilancarkan pihak kerajaan pada 31 Mei lalu berjaya mengumpul RM65,045,842.92.

-- BERNAMA