Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng disyorkan melakukan audit secara terbuka berhubung projek terowong dasar laut yang mencetuskan kontroversi daripada berterusan “menyerang” media yang melaporkan isu berkenaan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Guan Eng perlu berbuat sedemikian selepas timbulnya unsur mencurigakan berhubung projek mega yang bakal dilaksanakan itu.

Beliau berkata, tindakan sama pernah dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berdepan dengan krisis 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Kita harus menceritakan perkara yang sebenar jika kita hadapi kesulitan dalam pelaksanaan projek. Oleh yang demikian, kami memintanya (Guan Eng) untuk lakukan audit.

"Semasa Perdana Menteri berdepan dengan masalah 1MDB, perkara itu terus dihantar ke PAC," katanya selepas Merasmikan Program Penjagaan Kesihatan Warga Emas di Kompleks Darul Hanan, pada Sabtu.

Jelas Reezal, sebagai ketua menteri, adalah lebih baik jika projek itu dihantar untuk audit secara terbuka serta dibuat PAC.

Ini katanya boleh menghalang daripada difitnah orang jika diputuskan secara tulus dan terbuka.

Tambahnya lagi kedudukannya sebagai Ketua Menteri sudah semestinya Guan Eng dipertanggungjawabkan terhadap isu ini can perlu menceritakan perkara yang sebenar.

Beliau mengulas mengenai sikap Guan Eng yang dilihat semakin tegang dengan laporan media berhubung siasatan ke atas projek mega bernilai RM6.3 bilion itu.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.