Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malalaysia (SPRM) untuk menggariskan lima langkah integriti dalam Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Jelasnya, jika IBR itu tidak mempunyai sebarang langkah-langkah integriti, ia hanya akan menjadi ikrar semata-mata.

"Antaranya mestilah mengisytiharkan harta benda secara umum oleh bukan sahaja Ketua Menteri, Perdana Menteri, Menteri-Menteri tetapi juga Ahli Parlimen dan ADUN.

"Kedua mesti ada tender terbuka dan ketiga tidak boleh ada sebarang urus niaga dengan Kerajaan dan keempat ahli pentadbiran tidak boleh terima tanah daripada Kerajaan dan kelima derma peribadi," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri Pulau Pinang juga tidak pernah dihubungi SPRM berhubung IBR.

Tegasnya, langkah-langkah integriti yang disenaraikan itu telah dilaksanakan oleh Kerajaan pentadbirannya sejak 2008.

"Kami telah menyatakan bahawa Kerajaan negeri tidak pernah dihubungi oleh SPRM untuk tandatangan IBR. Tapi sekiranya ada sebarang IBR maka ia harus mengandungi beberapa langkah integriti yang telah digunapakai Kerajaan negeri sejak 2004," ujarnya.