Seorang bekas pengarah syarikat pembekal ubat-ubatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu lebih RM1.2 juta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) pada 2014.

Bernama melaporkan, tuntutan itu berhubung pembayaran balik pembelian beberapa buah mesin pelekat pembungkusan

Bagaimanapun, Gulam Rusol Md Ismail, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Gulam Rusol sebagai presiden dan pengarah syarikat Natureceuticals Sdn Bhd didakwa mengemukakan permohonan bagi tuntutan bayaran balik pembelian ‘stickpack machine’ berjumlah RM1,225,000 kepada Nordanial Rohimi, di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan niat memperdayakan kementerian itu.

Dokumen tersebut mengandungi butiran palsu iaitu salinan invois Nothern Petrochem Sdn Bhd, salinan pesanan pembelian Natureceuticals Sdn Bhd, dua salinan masing-masing baucar pembayaran dan cek Maybank, yang dilampirkan, sedangkan pembelian ‘stickpack machine’ tidak pernah dibekalkan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pembangunan Herba, di kementerian itu, di Aras 2, Bangunan Galeri PjH, Lot 29, Jalan P4W, Prensint 4, Persiaran Perdana, Putrajaya, pada 16 Dis 2014.

Sementara itu, seorang pengarah syarikat, Kamaruzzaman Kamaludeen, 47, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Gulam Rusol berhubung perkara sama di tempat dan masa serupa.

Gulam Rusol dan Kamaruzzaman didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM), yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah dipalsu atau RM10,000.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin kepada kedua-dua tertuduh dengan syarat tambahan pasport mereka perlu diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan, sebulan sekali.

Peguam Rahmat Mohamed Hazlan yang mewakili Gulam Rusol merayu anak guamnya dibenarkan diikat jamin dalam lingkungan RM20,000 atas alasan tertuduh telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

Peguam Nasbal Harun yang mewakili Kamaruzzaman pula merayu anak guamnya diikat jamin dengan jumlah yang rendah atas alasan dia menghidap pelbagai penyakit iaitu kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung selain menanggung isteri dan dua anak.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM Pulau Pinang sebulan sekali.

17 Ogos ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.