Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak meremehkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kata beliau, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan tidak pernah menghalang pembelajaran dan pendedahan terhadap bahasa asing, namun ia tidak sepatutnya meminggirkan bahasa Melayu.

"Tiada halangan untuk mempelajari atau menggunakan bahasa asing. Tetapi janganlah sampai semua urusan rasmi kerajaan nak guna bahasa asing.

"Itu tindakan terkebelakang. Kita sudah gunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara rasmi kerajaan sejak berpuluh tahun dahulu, tak ada isu pun di sini.

"Saya sedar ada kenyataan-kenyataan yang agak meragukan daripada pihak-pihak tertentu, tetapi saya boleh bagi jaminan yang kerajaan akan sentiasa menjaga apa yang termaktub dalam perlembagaan," kata beliau ketika mengulas tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Anwar juga menegur sikap sesetengah perwakilan di Parlimen yang menggunakan bahasa Melayu secara cacamarba.

"Bukan sahaja penggunaan yang tidak betul, malah ada yang menggunakan kata-kata kesat dan tidak sopan. Ini tidak patut berlaku. Malulah jika anak-anak kecil melihat dan mendengar pertuturan sebegini,"ujarnya.

Anwar juga meluahkan sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan dalam memajukan industri kreatif dan kesusasteraan.

"Tiada peradaban di dunia ini yang maju tanpa bergerak seiring dengan kemajuan kesusasteraan. Kerana itu di pihak kerajaan, kita sentiasa menyokong apa sahaja usaha penambahbaikan untuk memajukan industri sastera negara," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi perjumpaan bersama budayawan negara di Petaling Jaya, hari ini.

Antara yang hadir dalam sesi sejam itu ialah Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, Datuk Dr. Anwar Ridhwan dan Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan Institut Antarabangsa Peradaban Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), Prof Datuk Dr Awang Sariyan.