Penggunaan baja najis haiwan yang tidak diproses di kawasan pertanian di sekitar Yong Peng, dikenal pasti sebagai punca pencemaran bau yang menjejaskan lebih 3,000 penduduk di kawasan itu.

Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng Mohd Hafiz Aliman berkata susulan itu, pihaknya telah mengeluarkan notis peringatan kepada seorang pekebun setakat ini.

"Notis yang dikeluarkan ini adalah sebagai pengajaran kepada pekebun yang lain agar merujuk kepada pihak Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhubung penggunaan baja yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas program 'Colour Fun Walk 2019' yang disertai kira-kira 1,000 peserta, di sini pada Sabtu.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas sekiranya pekebun yang berkenaan masih berdegil.

Menurutnya, majlis daerah itu menerima aduan penduduk yang tidak tahan dengan bau busuk serta kehadiran lalat sejak dua minggu lepas.

Selain itu beliau berkata pihaknya menerima aduan peniaga makanan yang mendakwa perniagaan mereka terjejas akibat pencemaran bau tersebut.

-- BERNAMA