Pihak penguat kuasa terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta agar menggunakan cara berhemah bagi menegur peniaga dan penjaja yang melakukan kesalahan berniaga tanpa lesen atau di kawasan yang tidak dibenarkan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendekatan seperti perbincangan boleh membantu menggalakkan lebih ramai peniaga dan penjaja kecil mendapatkan lesen, seterusnya menjalankan perniagaan secara sah.

"Kalau kita keluar rumah, pakai uniform dan cakap 'ya' atau 'tidak' sahaja pada orang, memang boleh. Tetapi lebih baik jika kita guna pendekatan yang lebih berperikemanusiaan dan prihatin.

"Jika nampak mereka berniaga di tempat yang salah atau tak ada lesen, dekati mereka. Tanya dan berbual dengan mereka. Dari situ baru kita akan jumpa punca dan apa masalah mereka sebenarnya.

"Kita cuba ikhtiarkan supaya mereka boleh terus cari rezeki. Jangan nanti Kuala Lumpur ini jadi bandar orang kaya sampai tak ada ruang untuk peniaga kecil-kecilan cari duit.

"Lagipun kalau kita denda atau halang begitu sahaja, sampai bila-bila pun penguatkuasa tak boleh kawal. Kita larang di satu tempat, akan muncul pula di tempat lain," kata Annuar ketika ditemui selepas menyerahkan lesen penjaja kepada peniaga gerai makanan di Kawasan Perindustrian Batu Muda, di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Annuar memaklumkan sudah memanggil dan mengadakan perbincangan dengan 40 peniaga dan penjaja di Taman Tasik Titiwangsa yang disita minggu lalu.

"Saya sudah minta agar barangan yang dirampas dikembalikan, tetapi kita juga bagi 'surat cinta' kepada mereka, supaya mereka jelas dengan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

"Kita akan usahakan cari lokasi untuk mereka berniaga. Saya juga mengharapkan kerjasama peniaga dan wakil rakyat setempat untuk bantu mendekatkan rakyat dengan DBKL," ujarnya.

Sebelum ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan DBKL menyita meja milik seorang penjaja di taman tasik berkenaan.

Video tersebut menunjukkan seorang peniaga wanita merayu sambil menangis supaya barangan perniagaannya tidak dirampas anggota penguatkuasa.

Difahamkan, DBKL telah mengeluarkan notis amaran awal secara lisan dan bertulis kepada semua pengusaha perniagaan termasuk pengusaha basikal sewa tanpa lesen di kawasan tersebut.