Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu rakyat Malaysia lebih bertanggungjawab dalam menggunakan prinsip kebebasan bersuara yang diamalkan kerajaan.

Katanya, walaupun Malaysia mengamalkan keterbukaan dalam penggunaan internet, tetapi ia harus berada dalam batas undang-undang yang tidak boleh dibebaskan.

“Kebebasan bersuara bukanlah suatu lesen untuk disalahgunakan, ia adalah tanggungjawab.

“Kebebasan bersuara tanpa sebarang rasa prihatin terhadap tingkah laku manusia yang baik akan menjadi bencana bagi mana-mana masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan pejabat rasmi Facebook Malaysia pada Selasa.

Malah beliau juga menggesa semua syarikat penyedia platform media sosial untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan ia dimanfaatkan sebaiknya pengguna.

Ini kerana ia dilihat amat penting bagi mewujudkankan perubahan positif.

Katanya lagi, dalam usaha menguatkuasakan undang-undang, kerajaan memerlukan kerjasama semua pihak untuk menangani cabaran teknologi serta perkembangan semasa.

“Satu lagi bidang kerjasama antara kerajaan dan Facebook terutamanya berkaitan Laporan Penguatkuasaan Piawaian Komuniti.

“Walaupun ada usaha dan kaedah untuk mengesan kata-kata kebencian, tetapi masih wujud beberapa kata-kata lain yang berpotensi untuk menjadi ancaman kepada keharmonian serta keselamatan negara,” tambahnya.

Jelas beliau lagi, kerajaan Malaysia Baharu membawa misi untuk membina semula dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang kuat, berintegriti.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak; Naib Presiden Facebook Asia Pasifik, Dan Neary dan Pengarah Negara Facebook Malaysia, Nicole Tan.