Seorang guru sekolah rendah agama maut manakala lima anak muridnya cedera parah apabila kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Km 91.3, Jalan Johor Bahru-Batu Pahat dekat Pontian pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supt Zakaria Abd Rahman berkata mangsa yang maut ialah Abdul Razak Jamari, 42, yang merupakan guru Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Benut.

Beliau berkata dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa sedang membawa lima muridnya iaitu Muhammad Danish Asyraff Khairul, 6, Muhammad Fathuddin Zakaria, 6, Khodijah Uliah Zakariah, 8, Muhammad Firas Alian Norsahidin, 6 dan Muhammad Adi Syahmi Abdul Razak, 8.

Murid-murid itu dilapor berada keadaan kritikal dan kini dirawat di tiga buah hospital iaitu Hospital Pontian, Hospital Nora Ismail, Batu Pahat dan Hospital Sultanah Aminah di sini.

"Kejadian berlaku apabila lori tanpa muatan yang datang dari arah Benut menuju Rengit dikatakan cuba mengelak sebuah kenderaan lain yang keluar dari simpang sebelah kanan jalan.

"Lori itu bagaimanapun memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta mangsa," kata Zakaria ketika dihubungi.

Beliau berkata pemandu lori itu didapati telah meninggalkan kenderaannya dan pihak polis sedang berusaha mengesan pemilik lori tersebut. -- Bernama