Seorang rekrut kumpulan militan Daish yang dibebaskan pada 2016 ditahan lagi selepas dia kembali aktif dan merancang untuk menyerang pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, suspek berusia 25 tahun yang bekerja sebagai guru di sebuah sekolah agama swasta di Subang Jaya itu turut merancang untuk merompak, membunuh dan menculik orang bukan Islam.

“Berdasarkan kefahaman suspek orang-orang bukan Islam adalah kafir harbi dan darah mereka halal untuk ditumpahkan.

“Suspek juga aktif mempromosikan ideologi salafi jihadi kumpulan pengganas Daish melalui Facebook miliknya bagi tujuan merekrut anggota-anggota baharu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Suspek juga dikesan mempunyai hubungan dengan beberapa bekas anggota kumpulan militan Daish dan bekas anggota kanan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

Suspek sebelum ini pernah ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan sebelum dibebaskan pada 9 November 2016 atas memiliki barang-barang berkaitan kumpulan pengganas.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di Petaling Jaya pada 17 Januari lalu, sepasukan anggota dari Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Bukit Aman menahan seorang suspek militan Daish warga Indonesia yang merancang untuk menyerang balai polis dan merampas senjata api.

“Suspek berusia 23 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan itu juga merancang untuk mencuri senjata api di lain-lain balai polis dan kem-kem tentera untuk digunakan dalam serangan di Malaysia serta Indonesia.

“Bagi membuktikan Daish masih aktif di Malaysia, suspek telah menaik dan mengibarkan bendera kumpulan berkenaan di tapak pembinaan tempat dia bekerja,” katanya.

Tambah Mohamad Fuzi, hasil siasatan pihaknya mendapati, suspek kedua itu pernah membuat pemantauan di sekitar Jalan Pudu pada November tahun lalu dengan membawa sebilah pisau untuk membunuh sami Buddha sebagai tindak balas dendam terhadap kekejaman Kerajaan Myanmar ke atas umat Islam Rohingya.

Bagaimanapun katanya, cubaan itu digagalkan polis dan turut merampas pisau terbabit.

Kedua-dua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah bab VIA – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).