Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) memandang serius kecuaian seorang guru yang memberikan lirik lagu mengagungkan gereja kepada 24 orang murid sekolah rendah.

Pengarahnya Shafruddin Ali Hussin berkata pihaknya akan merujuk perkara berkenaan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Shafruddin menerusi siasatan yang dilakukan mendapati kesilapan itu tidak disengajakan dan berlaku kecuaian semasa pemilihan lagu tersebut.

“Apabila menyanyikan lagu tersebut didapati lagu itu mempunyai unsur Kristian dan Cikgu Kamil pun terus tidak membenarkan walaupun telah dinyanyikan sekali tetapi selepas itu lagu tersebut tidak dinyanyikan dan Cikgu Kamil telah berjanji kepada murid-muridnya untuk menarik balik dan menggantikannya dengan lagu lain.

“Isu yang kedua ialah Cikgu Mohd Kamil tidak menarik semula salinan senikata lagu yang diberi kepada muridnya, jadi dua kalilah berlaku kecuaian di situ,” kata Shafruddin ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berharap agar perkara itu tidak lagi disensasikan dan penjelasan ini dapat meredakan kebimbangan umat Islam berkaitan isu berkenaan.

Guru terbabit, Muhammad Kamil Abdul Rahman, sebelum itu telah memuat turun lirik tersebut di internet bagi tujuan latihan kepada murid untuk persembahan Bulan Kemerdekaan yang akan diadakan di sekolah pada 10 September ini.

Muhammad Kamil hari ini tampil memohon maaf kepada seluruh umat Islam ini ekoran kecuaiannya mengedarkan lirik lagu mengagungkan agama Kristian kepada pelajar Islam pada hari Rabu lalu.

Guru yang sudah lapan tahun bertugas di sekolah itu tidak menyangka lirik lagu berkenaan mengandungi unsur memuji agama Kristian dan tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

“Di atas kecuaian saya, dengan itu saya memohon maaf berbanyak-banyak kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam di atas kecuaian ini yang tidak di sengajakan,” katanya.

Rabu lalu , seorang aktivitis pendidikan yang menggunakan nama gelaran Cikgu Izzat telah memuatnaik satu kenyataan di laman sosial Facebook berkenaan tindakan seorang guru yang menyebarkan lirik lagu berunsur Kristian dan memuji gereja ketika proses pengajaran dan pembelajaran.

Ekoran itu netizen telah mengecam tindakan yang dilakukan oleh guru tersebut yang dianggap sebagai tidak sensitif dan menghina agama Islam serta berharap pihak yang berkaitan mengenakan tindakan displin terhadap guru terbabit.