Guru didakwa cabul tiga murid lelaki, berhadapan hukuman penjara 110 tahun

Guru didakwa cabul tiga murid lelaki, berhadapan hukuman penjara 110 tahun
Mohamad Shafie Abdul Rani, 51, yang didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas tiga murid lelakinya di sebuah sekolah Ayer Hitam sejak tujuh tahun lalu. - Foto Sinar Harian
TELUK INTAN: Seorang guru bakal berhadapan hukuman penjara 110 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual serta cubaan mencabul kehormatan anak muridnya.



Mohamad Shafie Abdul Rani, 51, yang didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas tiga murid lelakinya di sebuah sekolah Ayer Hitam sejak tujuh tahun lalu berhadapan dengan tujuh pertuduhan.



Di Mahkamah Seksyen, Shafie bakal berhadapan empat pertuduhan atas kesalahan mencabul kehormatan dua murid berusia 11 tahun di tiga lokasi berbeza.


Dipercayai Shafie melakukan empat kesalahan tersebut bermula Mei 2018 sehingga Januari 2019, lapor Sinar Harian.

Walau bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Norita Mohd Ardani.



Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat jika sabit kesalahan.



Seterusnya di Mahkamah Majistret tertuduh mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan keganasan jenayah dengan niat mencabul seorang murid yang kini berusia 18 tahun.



Dua kesalahan dilakukan di sekolah tersebut manakala satu lagi kesalahan dilakukan di Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) Sungai Buluh, Hutan Melintang sekitar tahun 2012 hingga 2013.



Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut jika sabit kesalahan.



Tiada sebarang jaminan yang ditawarkan kepada tertuduh ke atas ketujuh-tujuh pertuduhan tersebut.



Shafie bakal dibicarakan semula pada 25 April ini. - Sumber Sinar Harian


Tag: mahkamah, jenayah, Kanak-kanak, Mahkamah Majistret, mencabul, gangguan seksual, penjara, 110 tahun


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.