Seorang wanita membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada Jumaat lepas berhubung tindakan seorang guru di sebuah sekolah kebangsaan di sini, yang didakwa mengasari anaknya.

Wanita tersebut, Nur Syaheerah Sutchira Abdullah, 32, berkata anak lelakinya (Adam Mikhael Mubashir, 9) yang merupakan pelajar tahun tiga telah ditumbuk di bahagian kepala oleh seorang guru mata pelajaran Bahasa Inggeris apabila gagal menjawab soalan yang diberikan pada kira-kira 12 tengah hari Rabu (12 Julai).

Wanita itu yang merupakan suri rumah mendakwa tumbukan itu menyebabkan anaknya terjatuh dan mengenai bahagian bucu meja di belakang sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian kepala dan pinggang.

"Saya telah membawa anak saya menjalani pemeriksaan doktor dan mendapati berlaku gegaran di bahagian otak menyebabkan dia berasa pening dan loya, selain sakit di bahagian pinggang akibat terkena bucu meja," kata Nur Syaheerah Sutchira ketika ditemui pemberita di pekarangan sekolah itu, hari ini.

Susulan kejadian itu, wanita tersebut turut membuat aduan kepada Pertubuhan Perpaduan dan Usahasama (Padu) bagi mendapatkan keadilan untuk anaknya selepas pihak sekolah didakwa tidak mengambil tindakan terhadap guru terbabit.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA