Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengesahkan seorang daripada 16 individu ditahan polis dalam operasi khas pada 21 Sept hingga 6 Okt lalu kerana dipercayai terlibat kegiatan militan ialah seorang guru kaunseling di sebuah sekolah kerajaan.

Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Khair Mohamad Yusof berkata dalam hal seperti itu, Kementerian Pendidikan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana guru, kakitangan sokongan dan pelajar sekolah yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

"KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membendung kegiatan ini daripada menular.

"KPM turut ingin mengingatkan semua guru agar menjauhkan diri agar tidak terlibat dengan kegiatan militan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata kegiatan sedemikian akan memberi kesan negatif kepada negara malah menjejaskan kemurnian profesion keguruan dalam kaca mata masyarakat di negara kita.

Katanya kegiatan seperti penyebaran fitnah menerusi media sosial dan juga aktiviti yang bercorak anti kepada kerajaan yang memerintah turut akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi sekiranya terdapat individu yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis telah menahan 16 individu termasuk seorang warga Afrika kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengganas dalam operasi di sekitar Selangor, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah, bermula 21 Sept hingga 6 Okt. -Bernama