KOTA BHARU:Seorang guru madrasah mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan perbuatan lucah dan amang seksual terhadap bekas pelajarnya dua tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan di dua mahkamah berasingan di sini pada Khamis.

Untuk pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Syamsul Zaman Sukri, 32, didakwa melakukan perbuatan lucah dan amang seksual terhadap seorang pelajarnya yang berusia 15 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu secara amang seksual dengan meraba mangsa di satu lokasi pada 22 Ogos 2018 sekitar jam 10 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.

Manakala bagi pertuduhan kedua di mahkamah yang sama, tertuduh didakwa telah memaksa mangsa memegang kemaluannya.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 14 akta yang sama yang juga boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua orang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan tersebut dan menetapkan tarikh 28 Januari depan sebagai sebutan semula kes.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga di Mahkamah Majistret Machang, Syamzul Zaman dikatakan telah bertindak memegang kemaluan seorang lelaki berusia 22 tahun.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang sekitar jam 1 pagi pada Mei 2018.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dan tarikh 1 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh difahamkan telah membayar ikat jamin bagi kedua-dua mahkamah tersebut.