Wanita di dalam perbualan telefon dengan seorang guru yang didakwa meminta habuan seks sebagai balasan membantu mencari pekerjaan kepada pelajarnya digesa untuk tampil membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata pihaknya telah mengambil keterangan seorang guru lelaki yang didakwa meminta perkara tidak bermoral itu tetapi gagal mengesan wanita terbabit.

"Kita telah panggil guru sekolah berkenaan dan beliau menafikan individu dalam rakaman audio berkenaan adalah dirinya.

"Dalam masa sama, kita memerlukan wanita yang didakwa menjadi mangsa untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Jumaat.

Difahamkan, guru lelaki itu merupakan ahli sebuah parti politik.

Bagaimanapun, Fadzil berkata, guru lelaki itu tidak ditahan sebaliknya hanya dirakam percakapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang dan berkelakukan tidak senonoh.

Dalam pada itu, setakat ini, hampir 20 laporan polis dibuat terhadap penyebaran rakaman audio tersebut.

Dalam rakaman perbualan yang tersebar beberapa hari lalu, lelaki itu didakwa meminta habuan seks sebagai balasan membantu mencari pekerjaan kepada pelajarnya.

Dia juga mendakwa telah mendapatkan pekerjaan kepada sejumlah wanita yang baharu selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).