Seorang guru silat dan anak lelakinya ditetak tiga penjenayah yang dipercayai memecah masuk stor baja berhampiran rumah, di Kampung Gelam.

Kejadian berlaku sekitar 6:10 pagi Selasa apabila Mohd Iqbal Abdul Rahman, 18, keluar dari rumah untuk ke tempat kerja.

Mangsa yang bekerja sebagai pembantu kantin terus menghubungi ayahnya, Abdul Rahman Hasmin, 51, setelah melihat tiga penjenayah berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan stor.

Abdul Rahman ditetak di tempat kejadian oleh ketiga-tiga suspek yang menaiki dua buah kereta jenis Iswara merah dan Kancil warna perak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata mangsa tidak dapat mengecam suspek kerana keadaan masih gelap.

Menurut Adzaman kes akan disiasat mengikut seksyen 326 kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan sengaja.

Abdul Rahman mengalami kecederaan parah di sebelah kanan termasuk pergelangan tangan kanan hampir putus.

Manakala anaknya mengalami kecederaan di beberapa jari kiri dan kepala, dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.