Akibat teruja bakal menerima hadiah istimewa, seorang guru wanita berputih mata apabila kerugian RM41,500 selepas terpedaya dengan kata-kata manis rakan lelaki yang dikenali di laman sosial Facebook sejak awal tahun ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian bermula pada 22 Januari lalu apabila mangsa yang berusia 50 tahun dan tinggal di Taman Saujana Idaman di sini, menerima mesej dari suspek melalui Facebook yang menggunakan nama Mohd Koay Abdullah yang ingin memberikan hadiah atas tanda suka.

Katanya, pada 29 Januari lalu, mangsa dihubungi oleh suspek dan memberitahu perlu membayar RM4,500 untuk pelepasan hadiah berkenaan daripada pihak kastam.

"Pada hari yang sama, kira-kira jam 3.30 petang mangsa memasukkan wang berkenaan melalui CIMB Bank ke dalam nombor akaun yang diberikan oleh suspek.

"Mangsa sekali lagi pada 30 Januari lalu menerima panggilan dari seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai wakil Ajen T Link dan beritahu perlu membuat pembayaran berjumlah RM18,000 bagi urusan mendapatkan 'Certificate Laundry Money'," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian memasukkan wang berjumlah RM18,000 berkenaan di Maybank cawangan Jerantut pada hari yang sama kira-kira jam 3 petang.

"Pada 1 Mac lalu kira-kira jam 2.12 petang, mangsa menerima pesanan daripada Mohd Koay beritahu bahawa sudah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan namun ditahan oleh pihak kastam kerana membawa wang berjumlah USD100,000 (RM400,000). Suspek meminta mangsa membayar RM4,000 kepada pihak kastam.

"Pada hari berikutanya mangsa memasukkan duit RM4,000 ke dalam akuan Maybank yang diberikan oleh suspek berkenaan. Pada 6 Mac lalu, mangsa sekali memasukkan duit berjumlah RM15,000 ke dalam akaun Maybank yang sama untuk tujuan yang sama.

"Bagaimanapun, Mohd Koay menyuruh mangsa memasukkan wang berjumlah RM30,000 bagi melepaskan diri dari perbicaraan mahkamah namun dia tidak membuat pembayaran kerana mengesyaki ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, semalam," katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya sedang mengesan semua suspek yang terbabit.