Jawatankuasa Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yang mewakili 14 NGO Felda dengan 600,000 ahli menyatakan sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presidennya Tan Sri Rozali Ismail berkata walaupun Felda mengalami krisis urus tadbir oleh kepimpinan terdahulu, namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berjaya menanganinya.

“Walaupun terdapat masalah-masalah pengurusan dalam Felda dan Felda Global Venture (FGV) terutama yang melibatkan kepimpinan atasan seperti bekas Pengerusi Felda yang lalu, namun Najib telah menerima teguran GWGF.

“Beliau juga telah mengubah pimpinan tertinggi Felda. Dan, FGV dan Perdana Menteri telah berjanji akan menambah baik kepimpinan dan urus tadbir korporat Felda dan FGV selepas pilihan raya, demi kesinambungan kemajuan tanah rancangan Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas GWGF sempena PRU14 di Wisma Rozali di sini hari ini.

Tambahnya, tiada jaminan Felda akan kekal untuk bumiputera sekiranya pemerintahan negara dikuasai oleh parti lain selain BN.

Justeru, ujarnya kepimpinan BN di bawah Datuk Seri Najib sentiasa memberikan komitmen kuat dalam membantu Felda.

Beliau pada masa sama akui berdepan cabaran dalam menangkis peluru pembangkang selain usaha meyakinkan 600,000 ahlinya.

Beliau menegaskan, ideologi pembangkang itu perlu ditangani kerana tidak mahu ada pihak tidak bertanggungjawab bertemu masyarakat Felda dan bercerita perkara yang tidak benar tentang Felda.

"Kami akan turun ke tanah-tanah rancangan Felda untuk bertemu masyarakat bagi memberi penerangan dan penjelasan berhubung isu-isu yang timbul berkaitan Felda dan anak syarikatnya.

"Saya juga ingin mengingatkan masyarakat Felda agar berfikir dengan bijak dan tidak terpengaruh dengan berita fitnah yang cuba disebarkan," katanya.