Penulis fitnah isu Puteri UMNO yang menjadi pemuas nafsu pemimpin untuk mendapatkan penajaan atau jawatan di dalam parti dinasihat menyemak fakta dan tidak membuat artikel secara membabi buta hanya untuk mencari publisiti murahan.

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beberapa nama exco yang dinamakan juga merupakan barisan kepimpinan lama yang bukan kali pertama direka demi mengaburkan mata masyarakat.

"Saya tidak gembira dengan isu ini, ia bukan kali pertama malah isu lama yang dimainkan. Nama-nama bekas Ketua Puteri sebelum ini turut terpalit.

"Ini cubaan yang berniat jahat dan dimulakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Saya sarankan mereka memulakan 2016 dengan hati yang bersih, penulisan bertanggungjawab dan penuh integriti. Kalau hendak menulis sila semak fakta terlebih dahulu," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Baru-baru ini, laman media sosial serta beberapa portal memainkan semula isu Puteri UMNO yang dijadikan pemuas nafsu pemimpin.

"Mana-mana pemimpin UMNO agar tidak menjadikan gadis-gadis puteri UMNO sebagai tempat untuk melampiaskan nafsu serakah demi menawarkan sebarang penajaan keatas sesuatu pertandingan atau jawatan kepada Puteri UMNO ke dalam Parti," kata bekas Exco Puteri UMNO, Datin Seri Ismalina Ismail ketika dipetik portal berkenaan.

Bagaimanapun, Ismalina menafikan sekeras-kerasnya catatan portal berkenaan.

Ismalina turut memberitahu, ia merupakan fitnah lama pihak tertentu yang dikitar semula.

Dalam pada itu kata Mas Ermieyati, Ismalina juga bukan lagi Puteri UMNO seperti yang difitnah penulis portal berkenaan.

"Kasihan namanya turut terpalit dan melibatkan Puteri UMNO," jelasnya.