Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kekal dengan keputusan Dewan Rakyat untuk mengubah had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun, seiring memperkasa suara anak muda.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata janji Kerajaan untuk mereformasikan perkara itu tetap akan ditunaikan biarpun ada kekangan dan bantahan beberapa pihak.

“Registrar of Youth (ROY) (Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia) jelas di bawah KBS.

"Kita akan berpendirian tegas. Bila kita sudah janjikan reform, kita akan lakukan walau apa pun rintangan terletak di hadapan kita,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

BACA: Had umur belia berubah, apa seterusnya?

Beliau diminta mengulas berhubung keputusan kerajaan Johor semalam yang mengekalkan had umur belia negeri kepada 40 tahun, sehinggalah pindaan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 688) diwartakan pada 2021.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Muar itu berkata, isu tersebut (keputusan Johor) akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet bagi perbincangan lanjut.

Sebelum ini, Johor mengubah pendirian dengan menerima pindaan had umur belia tersebut, sehari selepas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal untuk mengekalkan had umur 15 hingga 40 tahun bagi memastikan pelan perancangan yang telah dirangka.