Kerajaan Kelantan bersetuju untuk mengekalkan had usia perkahwinan di negeri itu iaitu 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun untuk lelaki.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata hasil persidangan meja bulat yang berlangsung baru-baru ini merumuskan had usia perkahwinan yang dipersetujui dan resolusi berkenaan dibentangkan kepada exco.

Kerajaan negeri bersetuju dengan resolusi persidangan meja bulat tersebut untuk mengekalkan had usia berkahwin di Kelantan, berdasarkan suasana masyarakat pada hari ini.

“Rumusan itu, resolusi itu dibentangkan kepada exco, dan exco bersetuju terima resolusi itu, kita bersetuju dengan pandangan itu supaya kita kekalkan had umur tu.

"Amalannya mesti dapat kebenaran pihak berkuasa, daripada mahkamah, mahkamah biasanya dia akan panggil pengantin, panggil keluarga, buat temuduga, bila mereka berpuashati, barulah mereka akan buat keluar surat untuk membolehkan mereka berkahwin, kalau tidak, tidak boleh buat perkahwinan,” katanya selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim, di sini hari ini.


Bagaimanapun kata beliau, perkahwinan tersebut perlu mendapat kebenaran dari pihak berkuasa iaitu mahkamah yang hanya akan memberi kebenaran sekiranya berpuas hati selepas menemuduga pasangan pengantin dan keluarga.

Minggu lalu, satu persidangan meja bulat mengenai isu perkahwinan bawah umur yang berlangsung di Kota Darul Naim, berpendapat amalan nikah bawah umur dibenarkan syarak serta selaras dengan peruntukan Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002 yang membenarkannya dengan syarat mendapat keizinan bertulis mahkamah.

Justeru, tiada keperluan untuk meminda umur minimum untuk mana-mana pasangan beragama Islam di Kelantan untuk berkahwin.

Ketetapan itu adalah satu daripada tujuh resolusi yang dicapai dalam program anjuran bersama kerajaan Pas Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dan Pertubuhan Lepasan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Kelantan.