Bersempena perayaan Kuih Bulan yang akan disambut oleh masyarakat Cina pada 27 Sept depan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengedarkan tanglung khas secara percuma menerusi laman
Facebooknya 'Ah Jib Gor' mulai hari ini.

"Bersempena menyambut perayaan tradisional yang bermakna ini, kami telah mereka bentuk tanglung khas dan akan mengedarkannya secara percuma," menurut kenyataan berbahasa Mandarin yang disiarkan melalui laman Facebook itu.

Setiap pengunjung laman Facebook itu yang menanda 'Like' akan mendapat dua tanglung. Mereka hanya perlu mengisi butiran peribadi seperti nama penuh, alamat rumah serta e-mel pada ruangan yang disediakan di laman berkenaan.

Najib berkata sambutan perayaan Kuih Bulan merupakan satu daripada perayaan tradisional penting di kalangan masyarakat Cina dan beliau mengucapkan selamat menyambut Perayaan Kuih Bulan kepada masyarakat Cina di negara ini.

Masyarakat Cina di seluruh dunia menyambut Perayaan Kuih Bulan yang jatuh pada hari ke-15 bulan kelapan kalendar Cina setiap tahun.

Perayaan itu juga dikenali sebagai Pesta Perpaduan kerana bulan penuh pada hari itu melambangkan keluarga yang lengkap dan bersatu.