Pelbagai cara dilakukan untuk berdakwah dalam kalangan umat Islam.

Bagi Kengkawan Project, misalnya, selain aktiviti amal bersama anak-anak yatim, mereka turut membawa konsep dakwah sambil riadah yang penuh dengan ilmu agama.

"Saya rasa daripada kita selalu buat program hiburan, apa salahnya sekali-sekala kira kongsi benda yang sangat dekat di hati kita semua sebagai umat Islam," kata Pengerusi Kengkawan Project, Norhana Osman Haron.

Selain melakukan riadah hujung minggu bersama keluarga dengan berjoging atau berkelah, ia akan menjadi lebih menarik apabila ditambah dengan perkongsian hadis secara santai.

Berkonsepkan sesi 'Open Mic,' program tersebut membawa penonton mendengar dan mengikuti kisah setiap orang yang berkongsi tentang hadis yang memberi impak besar dalam kehidupan mereka atau hadis yang mereka pegang dan jadikan amalan seharian.

"Kita selalu tahu mutiara kata daripada buku yang kita pernah baca, tapi saya rasa daripada kita kongsi mutiara kata itu, ada mutiara kata yang lebih baik iaitu hadis. Jadi di situlah tercetusnya 'Hadith Open Mic," katanya lagi.

Bagi Pendakwah Bebas, PU Razi, program seumpama ini adalah program ilmu agama yang seronok dilakukan selain dapat menambah rakan dan mengeratkan silaturrahim.

"Program yang ini ialah berkaitan kita nak belajar hadis, tapi nak belajar dengan cara yang mudah. Kita nak belajar dengan cara yang seronok. Kita nak belajar dengan cara yang amazing," ujarnya.

'Hadith Open Mic' turut mendapat sambutan pelbagai peringkat umur, daripada keluarga hinggalah kepada pelajar.

Kata Norhana, dengan berkongsi pengalaman secara terbuka, ia secara tidak langsung dapat meruntuhkan halangan-halangan yang ada di dalam hati.

"Setiap kali kami buat, akan ada sahaja cerita baharu, pengalaman baharu dan paling terkesan orang baharu," katanya.