Haiwan ternakan yang akan disembelih pada ibadah korban sempena Aidiladha yang disambut hari ini disarankan diperiksa dahulu untuk memastikan ia bebas daripada wabak penyakit.

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Sohibus Samahah Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata sehubungan dengan itu, individu yang hendak menyembelih haiwan ternakan sebaiknya mendapatkan permit dari Jabatan Veterinar untuk memastikan kesihatan haiwan ternakan tersebut dalam keadaan baik.

"Walaupun binatang ternakan tersebut fizikalnya nampak sihat tetapi kita perlu periksa untuk kepastian... kerana secara mata kasar kita tidak nampak bahawa haiwan tersebut tidak sihat atau membawa sebarang wabak penyakit.

"Jadi saya menasihatkan agar individu yang hendak menyembelih haiwan ternakan untuk ibadah korban perlu mendapatkan permit Jabatan Veterinar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Khamis.

Mohd Yusof berkata sunat bagi seseorang yang ingin mengambil bahagian dalam ibadah korban seelok-eloknya menyembelih sendiri tetapi jika tidak mampu untuk melakukannya sendiri, memadai jika mereka dapat menyaksikan ibadah korban berkenaan.

Dalam pada, itu Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir akan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid di Istana Seri Menanti manakala Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan di Masjid Imam Haji Kahar Kompleks Pusat Islam Rantau.

-- BERNAMA