KOTA KINABALU:Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri pada Selasa.

Hajiji, 65, yang juga Ahli Dewan undangan negeri (ADUN) Sulaman mengangkat sumpah jawatan pada jam 10.35 pagi di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Upacara angkat sumpah berkenaan turut dihadiri isteri Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Turut hadir pada majlis istiadat angkat sumpah tersebut ialah pegawai tinggi kerajaan negeri.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Hajiji angkat sumpah Ketua Menteri Sabah

BACA: Hajiji tiba di Istana Negeri untuk Istiadat Angkat Sumpah



Istiadat angkat sumpah tersebut sekali gus menamatkan isu pelantikan Ketua Menteri Sabah yang berlarutan selama dua hari.


Pada Isnin, Hajiji menerima watikah daripada Juhar bagi menghadiri istiadat mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Watikah tersebut diserahkan beberapa jam selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu untuk menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada Sabtu lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia selepas rakan sekutu GRS iaitu PN memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PBS tujuh kerusi.