Isu pelaksanaan hak kanak-kanak di mana-mana syarikat perlu dilihat sebagai satu pelaburan dan bukan kos perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ikea, Per Heggenes berkata, syarikat yang memberi tumpuan kepada kebajikan pekerja dan kanak-kanak akan memberi persekitaran yang kondusif ke atas produktiviti sekali gus melonjakkan perniagaan.

Katanya, perusahaan kecil dan sederhana, (PKS) mempunyai kelebihan dari segi pelaksanaan hak kanak-kanak dalam amalan perniagaan kerana saiz perniagaan yang lebih kecil.

Jelasnya PKS perlu mendekati pelaksanaan ini dengan cara yang berbeza dengan melibatkan nilai, budaya dan peranan syarikat dalam masyarakat setempat.

"Kami percaya usaha ini tidak melibatkan kos. Ia adalah pelaburan kepada perniagaan kami.

"Kami percaya dengan melayani orang dengan baik, kami sedang menyediakan persekitaran yang kondusif kepada mereka yang membantu kepada produktiviti.

"Ini secara langsung meningkatkan perniagaan kami. Kami boleh menarik lebih ramai orang yang berbakat ke syarikat kami," kata Heggenes.

Pada masa sama, beliau berpendapat syarikat perlu menyediakan persekitaran yang memberi peluang kepada setiap pekerja memiliki keseimbangan dalam kehidupan bekerja dan keluarga.

"Kami perlu memberikan mereka (pekerja) persekitaran yang seimbang di tempat kerja dan di rumah, iaitu perkara yang tidak biasa dilihat di negara-negara dalam Asia.

"Tetapi jika kehidupan yang seimbang dapat dicapai, ia akan membantu golongan kanak-kanak," kata Heggenes.

Tambahnya, setiap syarikat perlu menetapkan piaiwan yang baik bukan sahaja kepada syarikat dan pembekal, tetapi juga untuk kebaikan kanak-kanak dan komuniti.

Heggenes berkata demikian pada Forum Global Kanak-kanak yang bertema 'Mobility & Connectivity : Children's Right and Sustainable Business' di Kuala Lumpur pada Khamis.