Hak kebebasan bersuara bagi pengamal media tertakluk kepada sekatan yang wajar seperti yang diperuntukkan melalui undang-undang.

Menurut Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, ia demi memelihara kepentingan keselamatan persekutuan, hubungan baik dengan negara lain, kententeraman awam dan prinsip moral.

"Pihak media memiliki kuasa yang boleh mempengaruhi orang awam dan ia wajar digunakan dengan penuh tanggung jawab bagi memajukan agenda nasional untuk memelihara ketenteraman awam.

"Kebebasan bersuara secara bersyarat bukan sesuatu yang baru dan sudah dibincangkan di peringkat penggubalan laporan Suruhanjaya Reid pada 1957," kata Mohamed Apandi ketika berucap di Majlis Dialog bersama pengarang dan pengamal media di ibu negara pada Selasa.

Beliau turut menjelaskan Artikel 19 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang memberi hak kebebasan bersuara kepada setiap individu, adalah instrumen resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan ia tidak mengikat di sisi undang-undang.

Mahkamah Persekutan menyatakan UDHR merupakan pengisytiharan prinsip semata-semata dan tidak dianggap sebahagian undang-undang negara yang perlu dipatuhi secara total.

Sementara itu, Mohamad Apandi berkata draf rang undang-undang Majlis Media sudah pun siap tetapi ia masih tertakluk kepada perbincangan dengan semua pihak.

Mohamad Apandi juga mengalakkan penggiat industri media untuk memberi maklum balas mengenai pelaksanaan Majlis Media ini.

"Draf itu sudah selesai tetapi kami perlu maklum balas. Kami mendapati terdapat beberapa halangan dari pihak industri dan saya mahu melakukan kajian untuk mengenalpasti halangan itu," kata Mohamad Apandi.

Penubuhan Majlis Media ini adalah cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertujuan untuk mengawal selia industri media.

Kata Mohamad Apandi, ia mampu memacu ke arah industri yang lebih matang.

Bagaimanapun jelasnya, pelaksanaan ini juga perlu diteliti berdasarkan kesesuaiannya untuk diamalkan di Malaysia.