Badan Kehakiman mencipta sejarah apabila Mahkamah Persekutuan yang disidangi oleh sembilan hakim bersidang buat kali pertama untuk mendengar satu kes komersial yang menyentuh isu-isu perlembagaan.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum mengetuai panel hakim untuk mendengar permohonan rujukan perlembagaan dalam kes antara JRI Resources Sdn Bhd dan Kuwait Finance House (M) Bhd (KFH).

Tiga hakim utama yang lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah.

Empat orang lagi hakim berkenaan ialah hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Idrus Harun.

Mahkamah juga membenarkan jurugambar dari media unjtuk mengambil gambar panel Mahkamah Persekutuan sebelum meneruskan prosiding untuk mendengar kes itu kira-kira 9.30 pagi.

Sebelumnya, Ketua Hakim Negara berkata panel sembilan orang hakim akan dipilih untuk mendengar isu-isu berkaitan perlembagaan.

Pada masa lalu, panel tujuh hakim ialah jumlah maksimum yang dipilih untuk mendengar kes-kes seumpama itu di Mahkamah Persekutuan.

Kes hari ini melibatkan saman sivil yang difailkan pada 2013 oleh KFH terhadap JRI Resources, untuk mendapatkan kembali sejumlah RM118,822,066.59 yang terhutang oleh Finance House bagi empat perjanjian Kemudahan Ijarah dan satu perjanjian Murabahah melalui aturan Tawarruq yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada 2008 dan 2009.

Kuwait Finance juga memfailkan tuntutan terhadap tiga penjamin.

Persoalan yang dirujuk untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan ialah sama seksyen 56 dan 57 Akta Bank Negara Malaysia 2008 (CBMA) adalah sah di sisi perlembagaan kerana melangkaui bidang kuasa badan kehakiman kerana seksyen itu menyatakan bahawa keputusan oleh Majlis Penasihat Syariah juga terikat dengan Mahkamah Tinggi Sivil.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili JRI Resources berhujah bahawa berdasarkan peruntukan tersebut, peranan Majlis Penasihat Syariah melampaui fungsi untuk menggariskan undang-undang Islam.

Sementara itu, peguam Yoong Sin Min yang mewakili KFH berkata peranan Majlis Penasihat Syariah hanyalah untuk memastikan sama ada urus niaga mematuhi Undang-undang Syariah Islam dan tidak membuat keputusan mengenai pertikaian komersial.

Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menjadi pencelah dalam prosiding tersebut.

Malanjum menangguhkan keputusan selepas kedua-dua pihak selesai berhujah kepada mahkamah.

-- BERNAMA