Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang hari ini melepas dan membebaskan seorang hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Adam Tumiran dan pasangannya, Nurul Izani Md Isa daripada tuduhan khalwat empat tahun lalu.

Hakim Syarie, Zaim Mat Yudin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Menurut Zaim, pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti atau dokumen bertulis berhubung fakta berlakunya pemalsuan tarikh pernikahan oleh kedua-dua tertuduh.

Adam, 47, dan Nurul Izani, 37, didakwa berkhalwat di sebuah kuarters kerajaan negeri di Jalan Masjid Negeri, kira-kira jam 2 pagi pada 5 Disember 2010.

Pasangan itu boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 2012, pasangan itu dibebaskan Mahkamah Rendah Syariah George Town selepas mahkamah berpuas hati dengan kesahihan dokumen perkahwinan yang dikemukakan tertuduh.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Syariah memerintahkan kes berkenaan dibuka semula selepas pihak pendakwaan memfailkan rayuan.

April lalu, pasangan tersebut diarah membela diri oleh hakim syarie, selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes itu.