Hakisan: JPS hantar pakar ke Mengabang Telipot - Ahmad Razif

Hakisan: JPS hantar pakar ke Mengabang Telipot - Ahmad Razif
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman melawat pantai Mengabang Telipot pada awal bulan ini berikutan hakisan di kawasan tersebut. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menghantar pakar kejuruteraan pantai bagi mengenal pasti punca hakisan di Mengabang, Telipot, Terengganu.

Tindakan ini diambil supaya satu penyelesaian dapat dicari bagi masalah hakisan pantai yang berlarutan sejak tiga tahun lalu,
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, peruntukan RM90 juta disalurkan bagi tujuan menangani masalah tersebut.

"Urusan untuk tender RM90 juta akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Saya difahamkan bahawa proses ini sudah berada di peringkat yang terakhir. Keputusan dijangka akan diperoleh dalam masa dua minggu," kata beliau.

Hakisan di sekitar kawasan tersebut yang bermula di Pantai Tanjung Gelam, Kampung Tengah, Kampung Kolam dan terbaharu di Pengkalan Maras semakin meruncing.

Keadaan ini diburukkan lagi memandangkan pada musim tengkujuh, ombak yang kuat juga menjadi salah satu faktor penghakis jalan raya yang merupakan laluan utama penduduk.