Dua pasangan suami isteri termasuk sepasang warga emas nyaris rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan tiga buah rumah sewa di Taman Binjai Manis, Ketereh, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4 pagi tadi, rumah yang disewa pasangan suami isteri peniaga, Nuraznida Aziz, 34, bersama suami, Mohd Shaiful Amri Saifuddin, 35, dan pasangan warga emas, Che Siti Azizah Abdul Rahman, 65, dan suami, Wan Zain Wan Ahmad, 75, terbakar manakala sebuah lagi rumah tiada berpenghuni.

Nuraznida berkata, ketika kejadian dia sedang memanaskan minyak untuk menggoreng kerepek popia yang diusahakannya sejak dua tahun lalu.

"Saya pergi ke tandas sekejap saja, bila kembali ke dapur saya tengok api sudah terpercik ke dinding rumah, saya cuba padam dengan simbah air tapi gagal, lalu saya kejutkan suami dan keluar menyelamatkan diri," katanya yang masih trauma dengan kejadian ketika ditemui di lokasi kebakaran, hari ini.

Nuraznida berkata, ketika kejadian dia sedang memanaskan minyak untuk menggoreng kerepek popia yang diniagakan sejak dua tahun lalu. - Foto Astro AWANI/Vivi Sumanti

"Sudah jadi rutin saya, bangun awal pagi dan menggoreng kerepek popia sehingga subuh untuk dijual kepada agen, antara 300 hingga 600 botol sehari cuma pagi tadi, saya terasa nak ke tandas dan terjadinya kebakaran, saya anggap tidak ada rezeki dan ujian buat kami apatah lagi hari ini sambutan Israk Mikraj," katanya.

Hanya ini yang tertinggal, pasangan warga emas ini menunjukkan barangan yang berbaki selepas kebakaran. - Foto Astro AWANI/ Vivi Sumanti

Sementara itu tukang jahit, Che Siti Azizah berkata, ketika kejadian suaminya sedang bersolat manakala dia baru selesai mengambil air sembahyang namun terdengar bunyi percikan api beberapa kali sebelum satu bunyi letupan kuat dan asap tebal dari rumah jirannya, Nuraznida.

Katanya, dengan pantas dia terus bergegas mencapai beg duit yang mengandungi pengenalan diri dan dokumen penting serta mencapai kunci rumah untuk membuka pintu utama kerana sudah mengesyaki rumah yang disewa sedang terbakar.

"Saya tak sempat fikir apa, keluar pun pakai baju tidur berselimutkan kain pelikat suami kerana api marak terlalu cepat, turut hangus 20 helai pakaian pelanggan yang sudah siap dijahit termasuk baju raya," katanya yang turut kehilangan tiga mesin jahit yang menjadi punca rezekinya.

Pagi tadi, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan,Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Mumtaz Mat Nawi turut hadir ke tempat kejadian untuk menyampaikan bantuan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada mangsa kebakaran.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Penolong Penguasa Bomba Fakaruddin Berahim berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 4.11 pagi.

Katanya, seramai 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Tunjung dan Pengkalan Chepa bersama tiga jentera terbabit dalam operasi pemadaman yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Wan Asri Wan Yaacob.

"Api berjaya dikawal jam 5.17 pagi dan padam sepenuhnya jam 6.08 pagi manakala punca sebenar dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.