Penempatan di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) adalah satu alternatif terbaik buat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menangani isu setinggan bagi sebahagian besar golongan kurang berkemampuan di Sarawak.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata selain itu PPR juga adalah medium terbaik membantu kumpulan yang tidak mampu memiliki rumah termasuk mengubah saiz kediaman supaya lebih selesa.

"Fokus KPKT ialah keluarga kawasan setinggan, di Kuching sebanyak 4,866 buah keluarga kawasan setinggan tiada tempat tinggal tetap. Ini juga berlaku di kawasan Miri dan Bintulu," katanya pada sidang media selepas lawatan di tapak PPR Sungai Tengah 2 Matang pada Khamis.

Zuraida menambah, golongan berkenaan menjadi keutamaan KPKT dalam menyediakan mereka kediaman selesa dengan persekitaran kondusif dilengkapi pasar raya, kemudahan pengangkutan dan keperluan kesihatan.

"Tetapi mereka harus bersedia tinggal kawasan agak jauh dari pusat bandar kerana di kawasan berkenaan PPR banyak dibangunkan," jelasnya.

Turut menjadi fokus KPKT adalah keperluan kediaman bagi golongan muda berkeluarga memiliki rumah pertama, katanya.

“Selalunya golongan muda berkeluarga ini ingin diam dalam rumah sendiri dan kebanyakannya di bawah senarai kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

"Kita akan bantu mereka memiliki rumah malah memberi peluang kepada isi rumah seluruh negara untuk memiliki rumah mampu milik," katanya.

Sarawak antara negeri menyediakan kemudahan membantu golongan B40 memiliki rumah melalui Program Pinjaman Mutiara yang mana Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah wang pendahuluan bagi pembayaran deposit.