Hanya tiga peratus pembonceng motosikal dalam kalangan kanak-kanak memakai topi keledar mengikut spesifikasi yang diperlukan.

Manakala 97 peratus lagi tidak mendapat perlindungan keselamatan yang sepenuhnya semasa menggunakan motosikal.

Menurut Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr Kulanthayan KC Mani, kebanyakan kanak-kanak itu menggunakan topi keledar permainan, bersaiz untuk dewasa dan tidak memakainya langsung.

“Walaupun memakai topi keledar bersaiz dewasa, risikonya masih tinggi kerana tidak mengikut saiz kepala kanak-kanak.

“Ia belum lagi dengan penggunaan topi keledar permainan yang hanya cantik namun tidak memberi sebarang perlindungan keselamatan kerana tidak mempunyai sijil SIRIM (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia),” katanya.

Jelas beliau, pemilihan yang tepat harus dititikberatkan oleh ibu bapa dengan memilih produk yang mempunyai sijil SIRIM kerana ia diakui sudah diuji keberkesanannya.

Ujarnya, tahap kesedaran masih rendah dalam kalangan ibu bapa apabila melibatkan keselamatan anak-anak mereka.



Jesteru, Safekids Malaysia bersama beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pendidikan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) giat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai isu keselamatan ini terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Sebanyak 185 topi keledar diberikan secara percuma kepada pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kuala Kubu Bharu, dalam satu program Motorcycle Child Safety Helmet Vaccine di Kuala Kubu Bharu pada Isnin.



Ia juga hasil kerjasama dengan Halliburton Charitable Foundation, sebuah organisasi korporat yang menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Program berkenaan turut memberi penerangan cara pemakaian topi keledar, kesedaran dan pengetahuan mengenai keselamatan jalan raya.

Safekids Malaysia juga menyasarkan penglibatan pelbagai pihak terutama sektor korporat dalam usaha mempertingkatkan tahap keselamatan kanak-kanak terutama di jalan raya.